Make your own free website on Tripod.com

 

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

Perdana Menteri Malaysia Pertama (1957-1970)

Bapa Kemerdekaan

Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan pada 8 Februari1903 di Alor Setar, Kedah. Ketika itu Kedah adaah negeri di bawah naungan Siam. Beliau adalah anakanda kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Shah. Ibunya bernama Cik Manjalara adalah seorang puteri keturunan Raja Siam.

 

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Inggeris Kerajaan kini (Maktab Sultan Abdul Hamid) Alor Setar. Kemudian beliau dihantar belajar di Siam di Sekolah Debsirinder, Bangkok ketika berusia 12 tahun. Apabila kekandanya Tunku Yusuf yang menjaganya di Bangkok meninggal dunia beliau berpindah ke Penang Free School, Pulau Pinang.

Tunku kemudiannya melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1919 dan berjaya meraih ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dari St. Catherine's College, Cambridge Universiti pada tahun 1925. Beliau bolehlah dianggap sebagai anak Melayu yang pertama lulus universiti di England.

Semasa menuntut di England, jiwanya tersentuh dengan lagak bangsa penjajah yang memandang rendah kepada bangsa yang dijajah. Ini mendorongnya menubuhkan 'Persatuan Anak-anak Melayu Great Britian' pada tahun 1927 yang bertujuan menyatupadukan pelajar-pelajar Melayu di sana serta menyemaikan semangat Kemerdekaan. Beliau juga menyertai 'Majlis' iaitu sebuah persatuan pelajar India -Muslim yang melaung-laungkan sentimen anti-penjajah British.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1931 Tunku memasuki Perhidmatan Awam Negeri Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda, Padang Terap. Kuala Nerang, Pulau Langkawi dan Kulim. Pada tahun 1938 sekali lagi beliau ke England, kali ini untuk mengikut kursus undang-undang namun pengajiannya terbantut apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.

Tunku kembali ke tanah air dan bergiat cergas dalam SABERKAS. SABERKAS adalah singkatan kepada 'Syarikat Berkerjasama Am Saiburi'. Saiburi adalah nama Kedah dalam bahasa Siam namun maksud sebenarnya ialah 'Sayang Akan Bangsa Redha Korban Apa Segala'. Beliau banyak melakukan kerja-kerja kebajikan semasa pemerintahan tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan British kembali muncul, beliau menyertai Kesatuan Melayu Kedah.

Demi menyempurnakan cita-citanya menjadi seorang peguam pada tahun 1947 beliau ke England sekali lagi untuk meyambung pengajian undang-undangnya setelah tergendala selama 25 tahun. Pada tahun 1949 beliau lulus dari Cambridge Universiti dan ditauliahkan sebagai peguam. Sekembalinya ke tanah air beliau bertugas sebagai Pendakwaraya di Perkhidmatan Kehakiman Kuala Lumpur.

Tunku adalah salah seorang yang hadir ketika Kongres Melayu Se Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada tahun 1946. Apabila Dato' Onn Jaafar meletakkan jawatan sebagai Yang DiPertua UMNO pada tahun 1951, Tunku dipilih menggantikannya.

Sejak mengambil alaih kepimpinan UMNO dari Dato' Onn, Tunku telah mewujudkan kerjasama dengan MCA menubuhkan Perikatan pada tahun 1952. Sejak itu Perikatan menjadi badan dominan yang memperjuangkan Kemerdekaan sehinggalah negara memperolehi kebebasan mutlak apabila Tunku membacakan pengistiharan Kemerdekaan pada pagi 31 Ogos 1957.

Tunku dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Merdeka yang pertama dan dalam masa yang sama memegang potfolio Menteri Dalam Negeri.

Di peringkat antarabangsa, Tunku teah mengilhamkan penubuhan Association of Shoutheast Asia (ASA) dan memeterai perjanjian penubuhannya pada tahun 1961 dengan Thailand dan Filipina. Beliau adalah seorang yang keras menentang dasar apartied Afrika Selatan sehingga negara itu disingkirkan keahliannya dari Komanwel dalam Persidangan Komanwel di London.

Untuk mengeratkan hubungan diplomatik sesama negara Islam serta meningkatkan syiar Islam, Tunku telah mengilhamkan negara menganjurkan Pertandingan membaca Al-Quran peringkat antarabangsa. Tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini.

Tunku adalah peminat sukan yang serius, beliau telah mengembangkan mintnya ke peringkat negara apabila Malaysia menganjurkan kejohanan Pestabola Merdeka pada setiap tahun yang menyumbang kepada negara ini muncul sebagai gergasi bolasepak Asia ketika itu.

Tunku juga bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963, satu gagasan persekutuan yang terdiri dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaubagaimanapun beliau dengan berat hati kemudiannya telah menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tindakannya adalah didasarkan kepada anggapannya bahawa Singapura adalah 'barah yang harus dibuang' demi mengelakkan kacau-bilau politik merebak ke seluruh negara.

Namun peristiwa yang paling menyayatkan hatinya ialah peristiwa berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969. Beliau dikritik kerana kurang melaksanakan dasar pro-Melayu sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan. Ekoran dari insiden itu, Tunku telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada Tun Razak yang mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan kemudiannya meletakkan jawatan pada tahun 1970.

Pada Perhimpunan Agung UMNO ke 22 pada 23-24 Jnuari 1971 Tunku meletakkan jawatan Yang DiPertua UMNO dan Tun Razak disahkan sebulat suara sebagai penggantinya.

Tunku meninggal duni pada 6 Disember 1990 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan disemadikan di Makam Di Raja Langgar, Alor Setar. Jasa-jasanya sebagai Bapa Kemerdekaan akan sentiasa dikenang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.

 

Menu Utama